Thursday, March 22, 2012

MESYUARAT BUT BIL. 1 TAHUN 2012

Mesyuarat Bahagian Ukur Tanah Bilangan 1 Tahun 2012 akan diadakan di Unit Ukur Tanah Wilayah Utara, Perai, Pulau Pinang pada 22hb Mac 2011 masa 8.30 pagi. Surat panggilan mesyuarat tersebut telah diedarkan kepada semua Penolong Pengarah Ukur Tanah Wilayah yang terlibat.

Pejabat ini mengucapkan Selamat Datang kepada Penolong Pengarah Ukur Tanah Wilayah Timur Laut iaitu En. Zainal Abidin Mat Zin dan Penolong Pengarah Ukur Tanah Wilayah Selatan iaitu En. Nurijan bin Ahmad.

Mesyuarat akan dipengerusikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ukur Tanah iaitu En. Wan Zainuddin bin Wan Yusoff, KMN, PPT.

Berikut adalah surat arahan kehadiran mesyuarat BUT Bil. 1/2012 :



TAKLIMAT DAN LAWATAN TAPAK BAGI KERJA-KERJA UKUR TANAH

Satu taklimat Projek Brif telah diadakan di pejabat ini jam 9.00 pagi di Bilik Mesyuarat UUTWU yang melibatkan pihak-pihak seperti Bahagian Ukur Tanah (BUT) Cawangan Pangkalan Udara dan Maritim JKR, JKR Pulau Pinang, Cawangan Projek Jalan Bahagian Utara, JKR, Kuala Lumpur dan Juruukur Tanah Berlesen Yang DiLantik . Berikut adalah informasi bagi taklimat tersebut : 

Taklimat Pertama

Nama Projek     : Baik Pulih Jalan Dari Pekan Genting ke Balik Pulau dan dari
                            Bayan Lepas ke Balik Pulau/ Teluk Kumbar


Latar Belakang   : Jalan Sediaada adalah dua (2) lorong dua (2) hala. Terdapat jalan sambungan iaitu dari Teluk Kumbar ke Pekan Genting sedang dalam pembinaan untuk dinaiktaraf. Bagi Jalan dari Pekan Genting ke Pekan Balik Pulau ia merupakan jalan yang melalui kawasan pertumbuhan pendidikan di Balik Pulau. Jalan ini dipanggil Jalan Balik Pulau. Panjang Jalan dianggarkan 11km.

Objektif            : Objektif utama adalah Menaiktaraf Jalan FT6, Dari Pekan Genting ke Pekan Balik Pulau kepada dua (2) lorong dua (2) hala piawaian R5 dan dari  Bayan Lepas ke Teluk Kumbar kepada sekurang – kurangnya empat (4) lorong dua (2) hala termasuk 1.5km jejambat. Selain itu jalan ini akan disambungkan dengan jalan Pekan Genting ke Teluk Kumbar yang dalam pembinaan supaya dapat melengkapkan projek menaiktaraf  jalan Balik Pulau dari Pekan Balik Pulau ke di Bayan Lepas.

Fungsi                 : Untuk meningkatkan level of service (LOS) bagi kelancaran pergerakan trafik, keselamatan pengguna jalan raya serta memangkin pertumbuhan ekonomi.



Taklimat Kedua :


Nama Projek     : Menaiktaraf Jalan Negeri (P10) daripada Batu Maung ke Jalan Sultan Azlan Shah


Latar Belakang   : Jalan Sediaada adalah Jalan Negeri (P10) berupa dua (2) lorong dua (2) hala. Jalan ini adalah berdekatan dengan lapangan terbang Pulau Pinang dan juga jambatan Pulau Pinang Kedua. Masalah utama adalah sempit dan akan menjadi lebih sesak apabila jambatan Pulau Pinang Kedua beroperasi. Panjang Jalan dianggarkan 6km

Objektif              : Objektif utama adalah Menaiktaraf Jalan P10 kepada sekurang-kurangnya empat (4) lorong dua (2) hala  dari Batu Maung ke persimpangan FT6/P10 di Jalan Sultan Azlan Shah.

Fungsi                 : Bagi meningkatkan level of sevice untuk kelancaran pergerakan trafik terutama apabila Jambatan Pulau Pinang Kedua beroperasi, keselamatan pengguna jalan raya serta memangkin pertumbuhan ekonomi.


Seterusnya satu lawatan tapak ke jalan-jalan yang terlibat dalam kerja-kerja ukur tanah telah dijalankan setelah selesai taklimat di berikan. Tujuan ialah bagi mendapatkan gambaran sebenar di lapangan bagi butiran-butiran yang perlu dicerap bagi mengelakkan sebarang kekeliruan semasa pengukuran dijalankan serta kelancaran proses penyediaan pelan lukisan yang diperlukan. Alhamdulillah, sesi lawatan tapak ini berakhir pada pukul 3.00 petang. Terima kasih diatas kerjasama yang diberikan oleh semua pihak dalam menjayakan sesi tersebut.








Wednesday, March 21, 2012

TAKLIMAT SEBUTHARGA KEBERSIHAN DAN KESELAMATAN

Pada 13hb Mac 2012 sebanyak 2 taklimat sebutharga bagi kontrak kebersihan dan keselamatan bagi pejabat ini telah diadakan di Bilik Mesyuarat Unit Ukur Tanah Wilayah Utara.

Taklimat kebersihan telah dijalankan pada pukul 9.00 pagi dan sebanyak 22 orang kontraktor telah hadir bagi tujuan tersebut. Manakala taklimat keselamatan telah dilaksanakan pada pukul 11.00 pagi dan sebanyak 26 orang kontraktor juga telah hadir bagi sesi penerangan tersebut. Kedua-dua taklimat telah diberikan oleh Penolong Pengarah Unit Ukur Tanah Wilayah Utara dan En. Mohd Nazri daripada Syarikat ePerolehan.

Kedua-dua sebutharga tersebut perlu dikemukakan Cadangan Teknikal dan Cadangan Kewangan kepada Kementerian Kerja Raya, Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur sebelum jam 12.00 tengahari 20hb Mac 2012.







EMAK PEKERJA AWAM MENINGGAL DUNIA

Ucapan takziah sekali lagi kepada En. Ismail bin Yusof, Pekerja Awam Gred R4 Unit Ukur Tanah Wilayah Utara kerana emak beliau telah meninggal dunia pada 18hb. Mac 2012 lebih kurang jam 11.30 malam akibat daripada jangkitan kuman dalam darah. Mayat telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Beruas, Perak pada pagi Isnin lebih kurang jam 11.30 pagi. Sebelum ini, beliau telah kehilangan anak keduanya (lelaki) pada 15hb Jan 2012 yang lalu akibat daripada kemalangan jalan raya.

Pejabat ini berharap En. Ismail bin Yusof bersabar dengan dugaan yang silih berganti dari Allah SWT ini. Semoga arwah ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan di dalam Syurga Firdaus. Marilah kita sama-sama sedekahkan bacaan Al-Fatihah untuk arwah emak beliau. AlFatihah.

SBPA BATAL, SSM DITAMBAH BAIK

PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelarasan gaji 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Pelaksana di Gred 1 hingga Gred 54, di samping pelarasan gaji sembilan peratus untuk gred Utama dan Khas C, B serta A.

Pelarasan gaji untuk Kumpulan Turus III serta Turus II pula sebanyak lapan peratus, dan Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara sebanyak tujuh peratus.

Dalam pengumuman beliau pada satu perhimpunan khas dengan penjawat awam di sini, Najib turut menyatakan persetujuan kerajaan supaya Bantuan Sara Hidup (COLA) bagi kawasan B dinaikkan daripada RM200 sebulan kepada RM250, dan bagi kawasan C, dinaikkan daripada RM100 sebulan kepada RM150.

Selain itu kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.

Perdana Menteri berkata sebarang cadangan yang disyorkan oleh suruhanjaya yang dianggotai semua pihak berkepentingan yang bekerja menerusi prinsip musyawarah, perundingan dan permuafakatan itu akan dipertimbang mengikut kemampuan kerajaan.

Katanya struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.

Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas pula kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.

Najib berkata kerajaan juga bersetuju supaya Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP), dikekal pelaksanaannya mengikut peraturan sedia ada di bawah SSM.

Bagi guru-guru pula, menurutnya, kerajaan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip "time-based" Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti yang diumum dalam Bajet 2012.

"Saya harap keputusan ini dapat meredakan ketidakpuasan hati penjawat awam pelbagai peringkat. Bagi isu-isu lain yang berkaitan perkhidmatan dan skim perkhidmatan, perkara ini akan dikaji oleh suruhanjaya yang diumumkan tadi," katanya.

Najib berkata bagi menjayakan segala perubahan dalam perjalanan menuju matlamat untuk transformasi negara, peranan yang penting terletak di bahu penjawat awam keseluruhannya.

Beliau berkata SBPA yang diperkenalkan awal tahun ini mengundang keresahan, rasa terkilan dan perasaan tidak puas hati penjawat awam, dan oleh kerana kerajaan semasa adalah kerajaan yang prihatin serta mengenang jasa dan budi, ia mendengar keluh kesah rakyat.

"Kita bukan seperti puak-puak yang belum berjaya membentuk kerajaan sudah mahu membuang kakitangan awam," kata Perdana Menteri sambil menjelaskan bahawa ekoran rasa tidak puas hati itu, kerajaan pada 12 Jan lepas memutuskan supaya SBPA dikaji semula.

Sebuah pasukan petugas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam kemudiannya ditubuhkan dan diberi tempoh tiga bulan untuk meneliti semua aduan serta maklumat balas yang dikemukakan. Ia diberi tanggungjawab mengemukakan cadangan penyelesaian kepada kerajaan.

Pasukan petugas itu menerima 1,087 aduan serta maklumat balas di samping beberapa memorandum serta cadangan daripada 23 kesatuan.

Najib berkata kerajaan amat mengharapkan kefahaman dan kerjasama penjawat awam untuk sama-sama menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu, dan walaupun kerajaan berjaya membawa negara keluar daripada gelora ekonomi global ini, usaha perlu digandakan bagi memastikan negara terus bebas daripada belenggu gelora ini di tahun-tahun mendatang.

Katanya dalam membuat keputusan, kerajaan perlu memikir langkah terbaik, yang semasa ia mendahulukan kepentingan rakyat, pada masa yang sama ia tidak mengetepikan faktor-faktor lain, terutama daripada segi kelestarian kestabilan ekonomi negara, atau dalam erti kata lain keupayaan kewangan kerajaan mesti diambil kira.

"Ingatlah bahawa apa yang kita lakukan hari ini tentu akan mempunyai kesan jangka panjangnya. Kerajaan tidak rela Malaysia menjadi sebuah tragedi kewangan seperti Greece atau negara-negara lain," katanya.

Najib berkata untuk menjamin ekonomi negara tidak terkesan oleh senario ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan perlu meneruskan usaha mengurangkan defisit fiskal negara.

Beliau berkata pada 2010 defisit negara mencecah 5.6 peratus, manakala tahun lepas ia berjaya dikurangkan kepada lima peratus dan tahun ini ia diharapkan dapat dikurangkan lagi ke tahap 4.7 peratus.

Semakan gaji yang terakhir dilakukan pada 2007, yang menyaksikan penjawat awam menikmati kenaikan gaji antara 7.5 dan 35 peratus.

-- BERNAMA