Friday, February 24, 2012

CUEPACS Tuntut Kenaikan Gaji RM 700 - RM 2,500 Untuk Gred 1 Hingga Gred 54

PUTRAJAYA: Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM700 hingga RM2,500 untuk Gred 1 hingga Gred 54. Presidennya Datuk Omar Osman berkata kenaikan itu perlu dilaksanakan terlebih dahulu menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan dibuat menerusi Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). Beliau berkata tuntutan yang dikemukakan ialah untuk Gred 1 hingga 16 kenaikan sebanyak RM700, Gred 17 hingga Gred 26 (RM1,000), Gred 27 hingga Gred 40 (RM1,500), Gred 41 hingga Gred 48 (RM1,800) dan Gred 52 hingga Gred 54
(RM2,500).

"Misalnya bagi mereka yang berada di Gred 17, gaji semasa dalam SSM ialah RM820 perlu dinaikkan sebanyak RM1,000 kepada RM1,800," katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas cadangan Cuepacs pada mesyuarat pasukan petugas semakan semula SBPA di sini hari ini.

Omar turut mencadangkan agar mereka yang berada di tangga gaji tahap
maksimum atau pada tangga gaji mati perlu dibayar tunggakan kenaikan tahunan
selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan selain perlu dinaikkan
gred.

"Misalnya bagi mereka yang sudah terhenti kenaikan gaji sejak lima tahun
lepas, sekiranya kenaikan setahun mereka ialah RM100 jadi perlu dibayar
tunggakan sebanyak RM500," katanya.

Selain itu, Cuepacs turut menuntut mereka yang lulus Penilaian Tahap
Kecekapan pada Aras 4 sebelum Disember 2011 perlu diberi kenaikan gaji.
"Banyak aduan yang diterima apabila SBPA diperkenalkan mereka yang sudah
lulus Aras 4 tidak diberi kenaikan gaji.

"Ini tidak adil kerana bukan mudah untuk mendapat lulus Aras 4, terpaksa
berkorban baca buku siang malam tapi bila dah lulus tidak dinaikkan gaji,
sia-sia sahajalah usaha mereka," katanya.

Omar berkata tuntutan Cuepacs itu dirasakan sesuai memandangkan mereka yang
di kedudukan atas daripada Gred 54 telahpun menikmati kenaikan tinggi dalam
SBPA.

"Kalau betul kerajaan berhasrat untuk merapatkan jurang antara pegawai
rendah dengan atasan maka tuntutan itu adalah dirasakan wajar, apa yang Cuepacs
lakukan ialah untuk menuntut kesaksamaan," katanya.

Beliau berkata terpulang kepada pasukan petugas SBPA untuk menilainya dan
jika merasakan tuntutan itu melibatkan kos yang tinggi, Cuepacs mencadangkan
gaji kumpulan yang menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA dikurangkan dan
disalurkan kepada gred bawahan.

"Jika tidak boleh juga...apa yang terkandung dalam SPBA sekarang perlu
ditukar keseluruhannya dan digantikan dengan terma-terma yang baru," katanya.

Sumber : 23.2.2012 Berita Harian/Blog Cuepacs

SELAMAT BERJAYA DAN SELAMAT BERTUGAS

Pejabat ini merakamkan jutaan tahniah di atas kenaikan pangkat kepada En. Powzy bin Mohd. Som (Penolong Pengarah Unit Ukur Tanah Wilayah Selatan, Senai, Johor) dan Tn. Hj. Mustafa bin Yaacob (Penolong Pengarah Unit Ukur Tanah Wilayah Timur Laut, Panji, Kelantan) ke Gred J48 berkuatkuasa pada 28hb. Disember 2011.

En. Powzy bin Mohd. Som akan bertugas di Seksyen Geodesi, Ibu Pejabat JUPEM, Jalan Semarak, Kuala Lumpur sebagai Ketua Penolong Pengarah. Manakala Tn. Hj. Mustafa bin Yaacob akan bertugas di Seksyen Ehwal Persempadanan, Ibu Pejabat JUPEM, Jalan Semarak, Kuala Lumpur juga sebagai Ketua Penolong Pengarah. 

Kepada kedua-dua pegawai tersebut pejabat ini mengucapkan selamat berjaya di suasana persekitaran kerja yang baru. Semoga hubungan yang sedia terjalin dapat dikukuhkan melalui kerjasama antara kedua-dua pihak. 

Pejabat ini juga mengucapkan jutaan tahniah di atas kenaikan pangkat J44 dan selamat datang kepada En. Zainal Abidin bin Mat Zin yang menggantikan  Tn. Hj. Mustafa bin Yaacob dan En. Nurijan bin Ahmad yang menggantikan En. Powzy bin Mohd. Som. Semoga kerjasama yang erat dapat diwujudkan di antara Unit Ukur Wilayah masing-masing.

Wednesday, February 1, 2012

ANAK PEKERJA AWAM MENINGGAL DUNIA

Anak lelaki kepada Pekerja Awam Gred R4 Unit Ukur Tanah Wilayah Utara iaitu En. Ismail bin Yusof telah meninggal dunia pada 15 hb. Januari 2012 akibat daripada kemalangan jalan raya yang melibatkan motorsikal dengan lori berhampiran dengan ILP Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Difahamkan kejadian berlaku pada waktu malam selepas mangsa iaitu Muhd. Syafiq bin Ismail yang berumur 19 tahun selesai makan malam di kedai yang berhampiran.  

Kebetulan pada masa kejadian En. Ismail bin Yusof berada di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang iaitu hospital yang sama mayat mangsa di hantar untuk dibedah siasat, bagi menjalani pembedahan untuk rawatan dialisis beliau. Mangsa merupakan anak bongsu daripada 2 beradik. Pejabat ini berharap En. Ismail bin Yusof bersabar dengan dugaan dari Allah SWT ini. Semoga arwah ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan di dalam Syurga Firdaus. Marilah kita sama-sama sedekahkan bacaan Al-Fatihah untuk arwah adik Muhd. Syafiq bin Ismail.